Pulau Pinang harap MKN beri tumpuan istimewa kes Covid-19 kluster kilang - Utusan Malaysia

Pulau Pinang harap MKN beri tumpuan istimewa kes Covid-19 kluster kilang

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi perhatian khusus dan istimewa terhadap kes-kes penularan pandemik Covid-19 dalam sektor perkilangan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana terdapat banyak rungutan daripada orang ramai yang mempersoal mengapa sektor itu masih dibenarkan beroperasi sedangkan terus mencatatkan peningkatan kes positif.

Ketika ini, tambah beliau, sektor ekonomi seperti operasi kilang termasuk di Zon Perindustrian Bayan Lepas di sini masih berjalan seperti biasa mengikut SOP yang ditetapkan.

“Saya percaya isu ini akan dibincangkan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sidang Khas MKN Covid-19 dan berharap ia diberikan tumpuan istimewa memandangkan kluster ini masih menyumbang kepada kes yang banyak, mungkin ada aspek yang perlu diperketatkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Setakat 8 Mei lalu, terdapat sebanyak 15 kluster Covid-19 aktif dilaporkan di Pulau Pinang dengan lapan daripadanya membabitkan sektor perkilangan; pendidikan (tiga); sosial (2) dan masing-masing satu kluster daripada pusat tahanan dan tapak pembinaan.

Bermula tengah malam ini, beberapa kawasan di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 antaranya daerah Timur Laut; Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta Mukim 12, Barat Daya; Bandar Butterworth, Seberang Perai Utara dan Mukim 14, Seberang Perai Utara.

Menurut Kon Yeow, di peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihaknya sejak Mac lalu mencadangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ‘Safe@Work’ bagi mencegah penularan wabak Covid-19 membabitkan sektor perkilangan.

Namun apa yang dikesalkan, tambah beliau, perkara itu tidak mendapat maklum balas daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sehingga kini.

Pada masa sama, ujarnya, kerajaan negeri turut meminta pekerja kilang yang dianggap sebagai barisan hadapan ekonomi diberi keutamaan untuk menerima vaksin namun tidak dapat disegerakan disebabkan faktor bekalan vaksin.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia melakukan ujian berskala besar Covid-19 dalam kalangan rakyat seperti di Selangor, Kon Yeow berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkan langkah tersebut.

Jelasnya, usaha itu boleh dilakukan dengan kerjasama daripada pihak luar khususnya sektor perubatan swasta yang sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk mempercatkan pemberian vaksin kepada rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya