ALOR SETAR: Polis meningkatkan pemantauan dan kawalan di 28 mukim di daerah ini yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 1 Jun ini.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Kota Setar, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihaknya memperkuat pasukan pemantau dengan menambah pasukan tersebut kepada 41 berbanding sembilan sebelum ini.
Menurutnya, langkah tersebut diambil dalam usaha memastikan penduduk di mukim terlibat mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada sepanjang PKPD itu.
“Jika sebelum ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kita ada sembilan pasukan pemantau dan bila dilaksanakan PKPD, kita ada 41 pasukan pemantau yang berada di lapangan.
“Mereka ini memantau pergerakan dan aktiviti yang dibenarkan sahaja, mengikut SOP yang dikeluarkan MKN,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Alor Setar Utara di sini, awal pagi hari ini.
Selain itu, Mohd. Redzuan memberitahu, pihaknya melaksanakan dua sekatan jalan raya (SJR) di Tol Alor Setar Utara, di sini bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk.
Tambahnya, pada masa sama, sebanyak lima pusat pemeriksaan dilaksanakan di lokasi yang melibatkan sempadan daerah ini.
Katanya, lokasi tersebut adalah Jalan Kepala Batas-Alor Setar, persimpangan Teluk Jamat-Pokok Sena, Jalan Kuala Sala, di hadapan Balai Polis Alor Janggus dan di hadapan Balai Polis Kota Sarang Semut.
“Seramai 272 pegawai dan anggota polis IPD Kota Setar serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam penugasan kali ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Redzuan berkata, sebanyak lapan laluan tikus yang menghubungkan beberapa daerah lain yang dikenal pasti akan ditutup sepenuhnya pada sepanjang PKPD.
“Pasukan pemantau melakukan rondaan dan pemeriksaan di lorong-lorong tikus tersebut bagi memastikan tidak terdapat penduduk yang mengambil kesempatan rentas daerah tanpa kebenaran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE