PETALING JAYA: Polis menafikan mengeluarkan arahan bahawa Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam, di sini tidak dibenarkan membuat pesanan makanan secara dalam talian.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dakwaan yang dibuat penduduk PPR berkenaan adalah tidak benar dan tiada arahan seumpama itu dikeluarkan.
“Perkara itu tidak benar,” katanya ringkas.
Terdahulu, media melaporkan Penduduk PPR di Kampung Limau, Pantai Dalam didakwa tidak dibenarkan membuat pesanan makanan secara dalam talian bermula pukul 7 malam semalam.
Pengumuman mengenai larangan itu dibuat menerusi pembesar suara oleh petugas keselamatan dan tiada notis awal diberikan.
Malah, bukan hanya pekerja syarikat penghantaran malah sesiapa saja yang bukan penduduk turut dilarang untuk masuk menghantar makanan kepada penduduk.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD selama 14 hari di PPR Kampung Limau.
Ia berikutan adanya 59 kes positif Covid-19 direkodkan di Kampung Batu Muda Tambahan selepas 150 penduduk disaring.
Pelaksanaan PKPD itu bertujuan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan dan mengawal pergerakan penduduk. – UTUSAN ONLINE