TAIPING: Tidak sampai 24 jam laluan tikus di Taman Kota Permai, Simpang di sini ditutup, segelintir penduduk sanggup mengangkat beban dengan mengalihkan lima batang cerucuk konkrit yang menghalang laluan tersebut.
Laluan tikus dikelilingi semak-samun sejauh 500 meter itu menghubungkan jalan besar ke Taman Simpang Bakti dan Taman Kota Permai.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, laluan itu adalah kawasan semak namun ‘diteroka’ penduduk setempat sebagai laluan alternatif untuk mereka mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Ayer Putih.
Katanya, laluan itu dipercayai digunakan penduduk sekitar sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama bermula Sabtu lalu.
“Kita mengesan laluan tersebut pagi semalam dan beberapa anggota telah meletakkan cerucuk kontrik itu bagi menghalang pergerakan kenderaan yang cuba keluar dan masuk ke mukim ini tanpa kebenaran.
“Lima batang cerucuk yang kebetulan dibuang di kawasan itu bagaimanapun telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Osman, beliau percaya kerja-kerja mengalihkan cerucuk konkrit itu dilakukan sekumpulan penduduk ekoran beban yang perlu mereka pikul bagi mengalihkan halangan tersebut.
Katanya, tali kuning polis yang merintangi laluan itu juga telah dipotong.
“Kalau diikutkan, cerucuk ini memang berat sebab kita sendiri terpaksa menggunakan kekuatan lapan anggota bagi mengangkat satu cerucuk kontrit.
“Mungkin selepas ini, kita akan minta kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memasang kawat duri di laluan itu,” katanya.
Tambah Osman, di kawasan Simpang, terdapat tiga SJR didirikan termasuk satu di Tol Taiping Utara manakala 11 laluan telah ditutup dengan pemasangan kawad duri.
Selain Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama, tiga mukim lain di negeri ini turut dikenakan PKPD iaitu Pengkalan Hulu di Daerah Hulu Perak, Hulu Kinta ( Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) di Daerah Kinta dan Hulu Bernam Timur di Daerah Muallim. – UTUSAN ONLINE