JOHOR BAHRU: Pemberian bantuan dan moratorium perlu dipertimbang sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara menyeluruh dalam waktu terdekat ini.
Presiden Majlis Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Negeri Johor, Zaini Atan berkata, inisiatif itu penting kerana pihaknya menjangkakan kira-kira 60 peratus daripada penjaja, peniaga dan pengusaha industri kecil akan gulung tikar sekiranya PKP dilaksanakan ketika ini.
Justeru, katanya, kerajaan perlu mendengar keluhan rakyat negara ini khususnya mereka yang terdiri daripada golongan B40.
“Sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan sekali lagi, saya minta kerajaan ambil perhatian serius terhadap golongan ini yang terjejas teruk.
“Ketika PKP 2.0 lalu, antara 50 hingga 60 peratus (penjaja, peniaga dan pengusaha industri kecil) gulung tikar dan sekiranya bantuan seperti moratorium tidak diberi, jumlah itu akan meningkat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Setiausaha Persatuan Penjaja Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru, Mohammad Salezan Mohd. Salleh dan Presiden Pertubuhan Persahabatan Negeri Johor, Mohd. Fairuz Iskandar.
Ujar Zaini, dianggarkan terdapat seramai 6,107 penjaja, peniaga dan pengusaha industri kecil yang beroperasi di daerah ini.
Tambahnya, majoriti golongan itu tidak mempunyai caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menikmati manfaat i-Sinar, justeru bantuan seperti moratorium dilihat dapat membantu mereka meneruskan kehidupan.
“Buat waktu ini, golongan peniaga kecil ini dinasihatkan agar tidak mengeluarkan modal yang terlalu tinggi selain meningkatkan usaha promosi penjualan secara dalam talian.
“Ini sebagai persediaan buat mereka agar sebelum berdepan situasi yang lebih mencabar kelak,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE