Medan selera jalan Tok Bali-Bachok ‘nazak’ - Utusan Malaysia

Medan selera jalan Tok Bali-Bachok ‘nazak’

SALAH sebuah kedai makan yang terpaksa ditutup di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 50 pengusaha kedai makan di sepanjang jalan Tok Bali-Bachok, di sini ‘nazak’ ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan di negeri ini sejak sebulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, para peniaga mendakwa hasil perniagaan gagal menebus kerugian yang terkesan sepanjang beberapa bulan lalu, lebih-lebih lagi selepas PKP kerana perlu menanggung kos sewa premis yang tinggi.

Seorang peniaga, Ismail Mamat, 44, berkata, kesemua kedai makan di sepanjang jalan itu yang sebelum ini meriah, ditutup apabila PKP dikuatkuasakan kerana ketiadaan pembeli walaupun dibenarkan beroperasi secara bungkus.

Menurutnya, tutup perniagaan bukan satu perkara baharu bagi pengusaha kedai ikan bakar kerana ia berlaku setiap kali PKP dilaksanakan.

“Tok Bali yang tersohor dengan lokasi kedai nasi ikan bakar kini malap. Kami menanggung kerugian besar apabila ikan segar gred A yang mahal akhirnya busuk.

“Tidak ada pelanggan yang datang membeli sekalipun dibuka secara pandu lalu. Malah, sukar bagi kami membungkus ikan bakar dalam saiz yang besar bersama rempah dan pencicah,” katanya.

Antara kedai makan tersohor di sini ialah Kedai Makan Ibunda, Kak Ju Nasi Dagang, Kedai Merah Nasi Dagang, Port Ikan Bakar, Kedai Pulut Ikan Bakar, Kedai Raja Ikan Bakar, Ikan Bakar Perupuk serta Mazni Ikan Bakar.

Pemilik Kedai Nasi Dagang Kak Ju, Juriah Husain, 50, pula berkata, perniagaannya masih mampu bertahan kerana tidak perlu membayar sewa memandangkan premis itu miliknya sendiri.

“Perniagaan saya kini hanya mengharapkan kehadiran pelanggan secara pandu lalu yang tidak ramai kerana sekatan rentas negeri dan daerah masih berkuat kuasa.

“Kalau sebelum ini kedai makan saya dikunjungi keluarga dari seluruh Kelantan dan sebahagiannya dari Terengganu, kini hanya mengharapkan kesetiaan pembeli tempatan,” ujarnya.

Seorang pekerja kedai makan, Khairizal Osman, 30, pula berkata, sebilangan besar pekerja kini hilang punca pendapatan selepas kedai tempat mereka mencari rezeki ditutup atau mengecilkan operasi sejak lebih sebulan lalu.

“Saya sangat terkesan dan kini terpaksa menganggur. Apa boleh buat kerana saya hanya tahu memasak dan membantu pengurusan kedai sahaja. Insentif dan bantuan kerajaan pun saya tak dapat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya