MELAKA: Dua pusat rekreasi dan pantai peranginan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ditutup mulai semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Bandarnya, Datuk Zainal Abu berkata, dua pusat rekreasi yang ditutup serta merta ialah Hutan Rekreasi Sungai Udang dan Taman Bandaraya Bukit Serindit.
Menurutnya, besi penghadang telah dipasang oleh kakitangan MBMB bagi menyekat orang ramai daripada memasuki kawasan tersebut untuk beriadah atau bersantai sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau menambah, pantai peranginan di Klebang seperti dilaporkan Utusan Malaysia kelmarin juga telah dipasang besi penghadang di kedua-dua laluan masuk ke situ.
“Saya dapati tahap kesedaran masyarakat di negeri ini tidak mengendahkan langsung prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.
“Mereka ini endah dan tak endah apabila kerajaan menguatkuasakan PKP di seluruh negara termasuk Melaka.
“Saya lihat orang ramai seperti tidak kisah apabila dua kampung iaitu di Permatang Tulang, Sebatu di Jasin dan Lubuk Redan di Alor Gajah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, segelintir orang ramai tidak mengendahkan larangan beriadah atau bersantai di Pantai Klebang sepanjang PKP.
Ini kerana kereta terus berpusu-pusu memasuki kawasan pantai pada Hari Raya Aidilfitri kedua sejak pukul 4 petang.
Tambah Zainal lagi, satu mesyuarat bagi membincangkan bagaimana untuk menyedarkan orang ramai mengenai pelaksanaan PKP akan dilaksanakan esok.
“MBMB akan melaksanakan hebahan mengenai bahayanya Covid-19 dan memberi kesedaran betapa SOP itu penting dalam usaha kerajaan menyekat penularan wabak ini,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan akhbar ini di kesemua tempat terbabit mendapati, suasana kembali sepi tanpa pengunjung tidak seperti pada hari pertama dan kedua Hari Raya Aidilfitri.
Walau bagaimanapun, di Pantai Puteri, masih terdapat segelintir orang ramai yang dilihat bersantai dan duduk di sekitar kawasan pantai. – UTUSAN ONLINE