Larangan kuliah, ceramah tolak vaksin di Kelantan - Utusan Malaysia

Larangan kuliah, ceramah tolak vaksin di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melarang sebarang penyampaian kuliah berkaitan penularan wabak dan program imunisasi Covid-19 yang bertentangan dengan dasar kerajaan.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz ketika mengumumkannya berkata, larangan tersebut diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam negeri ini.

Katanya, kebelakangan ini, segelintir pendakwah termasuk pemegang Tauliah Mengajar Maik sendiri dikesan memberi kenyataan atau mengulas isu penularan Covid-19 dan program vaksinasi yang bertentangan dengan dasar kerajaan.

“Perkara ini telah memberi kesan negatif terhadap langkah kerajaan untuk membendung wabak daripada terus merebak dalam masyarakat.

“Dalam situasi darurat ini, semua pihak perlu hentikan perbezaan pendapat berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: Maka jika kalian melihat perselisihan, berpeganglah pada as-Sawad al-A’dzham (majoriti orang-orang Islam).

“Dan berdasarkan kaedah fiqh iaitu keputusan hakim mengangkat segala khilaf,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan sama, Tengku Mohad Rizam memberitahu, jika mana-mana pegawai masjid bandar, jajahan, mukim atau pemegang Tauliah Mengajar Maik dan pendakwah didapati melanggar larangan itu, tindakan tegas akan diambil.

“Pihak Maik mengharapkan kerjasama semua pihak agar menyampaikan pengajaran yang selari dengan dasar kerajaan khususnya berkaitan penularan Covid-19 dan program imunisasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya