Kurang lima peratus rakyat Melaka divaksin - Utusan Malaysia

Kurang lima peratus rakyat Melaka divaksin

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya sekitar 4.72 peratus rakyat di negeri ini divaksin dan angka itu berkemungkinan jauh lebih rendah jika mengambil kira jumlah sebenar penduduk pada masa kini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, tempoh lama yang diambil untuk menyelesaikan urusan pengambilan vaksin hanya menjejaskan program vaksinasi kelompok sekali gus mengagalkan pelan melawan Covid-19.

Beliau berkata, justeru, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu dibuka dan beroperasi supaya lebih ramai penduduk boleh mendapatkan suntikan imunisasi.

“Vaksinasi adalah salah satu inisiatif melawan Covid-19. Untuk negeri Melaka sehingga 22 Mei 2021, jumlah pendaftaran untuk pengambilan vaksin oleh penduduk adalah seramai 330,451 orang atau sekitar 47.14 peratus.

“Namun, sehingga kini, hanya 38,740 orang atau sekitar 11 peratus daripada mereka yang mendaftar menerima vaksin.

“Mengambil kira jumlah penduduk seramai 821,100 orang berdasarkan statistik tahun 2010, hanya sekitar 4.72 peratus penduduk telah menerima vaksin. Pastinya angka ini jauh lebih rendah jika kita mengambil kira jumlah penduduk sebenar pada masa kini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehingga semalam, Melaka telah mencatatkan sebanyak 9,377 kes positif dengan 37 kematian.

Dalam pada itu, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil turut mempersoal berhubung jumlah PPV yang beroperasi adalah kurang daripada sepatutnya.

“Merujuk kepada perancangan kerajaan, sepatutnya terdapat 10 PPV dibuka dan beroperasi di seluruh Melaka. Namun sehingga kini, hanya 3 PPV sahaja yang beroperasi iaitu di Dewan Tun Ali, Kompleks Sukan Masjid Tanah dan Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Alamanda.

“Bertindaklah segera sebelum terlambat. Sekiranya itu berlaku, ia akan memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan ekonomi rakyat untuk jangka panjang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya