PUTRAJAYA: Jumlah kluster Covid-19 membabitkan tempat kerja meningkat 83.3 peratus minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya mengesan 44 kluster tempat kerja pada minggu ke-18 berbanding hanya 24 kluster pada minggu sebelumnya.
Menurutnya, sebanyak 106 kluster dikesan sepanjang minggu lalu yang mana 44 daripadanya kluster tempat kerja.
“Secara keseluruhan, jumlah kluster yang dikenal pasti sehingga minggu ke-18 adalah 1,775 kluster,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.
Dalam perkembangan sama, Adham mengingatkan majikan supaya mematuhi arahan kuarantin kendiri ditetapkan kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurutnya, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya menjalani kuarantin kendiri boleh dikenakan tindakan mengikut akta itu.
“Majikan perlu beri kebenaran kepada pekerja masing-masing menjalani kuarantin diri terutama selepas melakukan ujian Covid-19.
“Kami boleh mengambil tindakan sekiranya ada majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka sama ada disyaki, berkemungkinan atau sedang diuji, menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh,” katanya.
Jelasnya lagi, pekerja yang menjadi kontak rapat akan diberi gelang kuarantin untuk perintah pemantauan di rumah (HSO) selama 10 hari.
“Jika mereka disahkan negatif, mereka digalakkan menjalani pengasingan secara sukarela sehingga yakin bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Menjawab isu mengenai seorang jururawat mengalami strok ringan selepas suntikan dos kedua Sinovac, Adham berkata, beliau mengesahkan menerima laporan mengenai isu berkenaan.
“Kesan sampingan itu (strok ringan) boleh terjadi tetapi ia tidak berlaku dalam tempoh lama.
“Justeru, kami merayu kepada mereka yang berdepan kesan sampingan teruk supaya tampil segera mendapatkan rawatan.
“Tidak perlu tunggu dan rehat di rumah sebaliknya segera hadir untuk pemantauan lanjut bagi mengesan sama ada ia ada kaitan dengan pemberian vaksin atau tidak,” katanya. – UTUSAN ONLINE