JIM Selangor ambil langkah ketat pastikan kepatuhan SOP di kaunter - Utusan Malaysia

JIM Selangor ambil langkah ketat pastikan kepatuhan SOP di kaunter

MOHAMAD SHUKRI NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor mengambil langkah-langkah ketat bagi memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, JIM melaksanakan Sistem Temujanji Online (STO) bermula Mei tahun lalu bertujuan mengawal kesesakan pelanggan yang hadir dan dalam masa sama dapat mengekang penularan pandemik Covid-19.

Katanya, kehadiran pelanggan juga tertakluk kepada SOP semasa kerajaan yang menerapkan konsep pengamalan 3W (Wear, Wash and Warn) dengan menjauhi 3C (Crowded Place, Confined Space and Close Conversation) dengan pelanggan yang mempunyai STO sahaja dibenarkan berurusan di JIM.

“JIM memandang serius laporan yang berbentuk luahan ketidakpuasan hati berkaitan pengurusan pelanggan di JIM Selangor yang boleh menyebabkan pandangan negatif terhadap mutu perkhidmatan jabatan ini.

“Sebagaimana dakwaan pengadu berkaitan ketidakpatuhan SOP terutamanya dalam pandemik Covid-19 di JIM Selangor, kami telah telah mengambil langkah-langkah ketat dalam memastikan kepatuhan ini sentiasa dilaksanakan dengan baik dan berkesan mengikut arahan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk laporan aduan pengguna yang diterbitkan Utusan Malaysia hari ini bertajuk Jabatan Imigresen Selangor Tidak Patuh SOP?.

Dalam aduan berkenaan, pengadu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aspek pematuhan SOP pencegahan Covid-19 di JIM Selangor di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam.

Menurut pengadu, hanya dua orang pegawai imigresen dilihat mengatur urusan keluar masuk pelanggan sehingga menyebabkan suasana sesak di sepanjang ruang pejalan kaki.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri memberitahu, JIM tidak dapat menyekat kehadiran pelanggan yang hadir tanpa STO ke pejabat dan kesesakan itu mungkin berlaku disebabkan tindakan panik pelanggan berikutan khabar angin yang menyatakan bahawa kerajaan akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh (total lockdown) dalam masa terdekat.

Ujarnya, bagi mengawal kesesakan pelanggan, pihak pengurusan Kompleks PKNS telah menyediakan ruang khas menunggu bertujuan menyaring dan menyemak permohonan sebelum pelanggan boleh berurusan di kaunter imigresen.

Tambahnya, ruang khas tersebut dikhususkan untuk pelanggan-pelanggan yang hadir bersama pasangan atau tanggungan bagi membolehkan pegawai saringan membuat pengesahan pasangan atau tanggungan dan semakan dokumen.

“Malah, dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini, JIM Selangor telah mengambil langkah-langkah proaktif seperti menjadualkan semula (reschedule) STO sebanyak 40 peratus daripada jumlah temu janji harian bagi mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir ke pejabat.

“Selain itu, empat pegawai masing-masing akan ditempatkan di ruang khas menunggu dan dibantu Bahagian Penguatkuasa untuk tujuan
pemantauan bagi memastikan pelanggan mengamalkan penjarakan fizikal dan dapat mengurangkan kesesakan di bahagian menunggu kaunter secara berkala.

“Kita akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan disamping bersama-sama mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya