GEORGETOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menangguhkan permohonan kebenaran berkahwin di negeri itu mulai esok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah JHEAIPP, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, hanya akad nikah bagi pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dibenarkan mengikut jadual diberikan.
Katanya, selain itu, majlis akad nikah dibenarkan dilakukan di Pejabat Agama Daerah (PAD) sahaja manakala tempoh pelaksanaan majlis akad nikah tidak boleh melebihi 30 minit.
“Permohonan kebenaran kahwin, pendaftaran nikah, cerai dan rujuk ditangguhkan bermula esok sehingga satu tarikh dimaklumkan kelak.
“Bagi permohonan cabutan sijil perakuan nikah, cerai dan rujuk pula dibuka namun perlu melalui proses temu janji terlebih dahulu dengan PAD yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bayaran bagi cabutan sijil perakuan nikah, cerai, rujuk serta kursus praperkahwinan hanya diterima pada hari Isnin dan Rabu sahaja bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang sepanjang PKP.
Dalam pada itu beliau menambah, perkhidmatan khidmat nasihat dilakukan secara dalam talian menerusi emel serta panggilan telefon.
“Semua kursus praperkahwinan secara bersemuka ditangguhkan manakala temuduga khas bagi menggantikan kursus praperkahwinan dibuka secara online.
“Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang http: //emunakahat.penang.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE