KUANTAN: Sehingga kini, peratusan dan jumlah rakyat negeri ini yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masih rendah.
Hanya 34.6 peratus atau kira-kira 415,000 orang daripada sasaran seramai 1.2 juta orang rakyat negeri ini telah mendaftar untuk suntikan tersebut.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merayu agar rakyat Pahang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19
“Sekali lagi saya merayu kepada seluruh rakyat Pahang supaya segera mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera, bagi mendapatkan suntikan vaksin.
“Ini penting ke arah mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat dengan segera, yang turut membantu memutuskan rantaian penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, jumlah 34.6 peratus tersebut bukan pencapaian yang membanggakan.
Oleh itu, katanya, kerajaan negeri mahu sasarannya benar-benar tercapai demi memelihara kesihatan dan manfaat rakyat Pahang seluruhnya.
“Semoga dengan usaha bersama dan tidak jemu-jemu rakyat Pahang untuk #KitaJagaKita demi membendung, seterusnya mengatasi wabak pandemik Covid-19 ini, akan akhirnya berjaya, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE