Covid-19: Saringan bersasar 1,895 warga Unisza - Utusan Malaysia

Covid-19: Saringan bersasar 1,895 warga Unisza

HASSAN BASRI AWANG MAT DAHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kesemua 1,895 warga Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di kampus Gong Badak dan Perubatan dijadualkan menjalani ujian saringan bersasar Covid-19 yang bermula sejak semalam.

Naib Canselor Unisza, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,438 adalah kakitangan manakala bakinya pelajar.

“Angka itu disasarkan hasil perbincangan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan proses saringan Covid-19 masih diteruskan untuk esok dan seterusnya.

“Setakat ini, penularan wabak dikenal pasti di kampus Gong Badak cuma saringan bersasar turut membabitkan 27 pelajar di kampus Perubatan di Kuala Terengganu manakala kampus Besut tidak terlibat,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus mengarahkan Unisza kampus Gong Badak ditutup selama 14 hari hingga 30 Mei ini susulan 16 kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan dan pelajarnya hingga mencetuskan Kluster Gong Badak.

Kes indeks bagi kluster itu adalah kakitangan Unisza berusia 46 tahun yang dikesan positif pada 17 Mei lalu dan terkini seramai 944 orang sudah disaring.

Dalam pada itu, Hassan Basri berkata, aktiviti nyah kuman secara menyeluruh telah dilakukan oleh pasukan Covid Buster Unisza di ketiga-tiga kampus.

Katanya, semua staf turut diarahkan bekerja dari rumah bermula sepanjang dua minggu tempoh penutupan itu dan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) dilakukan secara dalam talian.

“Kebajikan pelajar di kampus Gong Badak dan Perubatan diuruskan oleh pihak universiti termasuk bantuan makanan secara percuma sepanjang tempoh kuarantin. Saya berharap semua warga Unisza dapat bersabar kerana kita sekali lagi diuji dengan penularan Covid-19 di dalam kampus,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya