KUALA TERENGGANU: Dua lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dalam tempoh hanya selang dua jam dengan kedua-duanya membabitkan dari daerah Besut.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kematian pertama melibatkan lelaki berusia 73 tahun dari Kampung Gong Macang di Beting Lintang manakala kes kedua pula adalah pesakit berusia 52 tahun dari Kampung Dengir, Bukit Puteri.
Katanya, angka itu menjadikan jumlah kematian di negeri ini melonjak kepada 23 orang.
“Semalam, sebanyak 104 kes baharu dilaporkan di Besut daripada keseluruhan 266 kes di Terengganu.
“Setiap kematian akibat Covid-19 sangat menyayat hati. Apabila disahkan positif, mereka keseorangan dalam wad dan tidak boleh dilawati atau ditemani, malah, urusan pengebumian hanya disempurnakan oleh petugas kesihatan dan agensi,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.
Menurut Nor Azimi, ahli keluarga hanya mampu melihat sayu dari kejauhan atau mereka sendiri mungkin dikuarantin di pusat mahupun dirawat sebagai pesakit Covid-19.
Bagaiamanapun, beliau mempersoalkan bagaimana golongan warga emas dijangkiti ketika sebahagian besar golongan itu duduk di rumah. – UTUSAN ONLINE