PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbanG kelonggaran melibatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kawalan sempadan dan pemakaian pelitup muka selepas imuniti kelompok tercapai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan kesihatan awam paling penting supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan dengan berada di rumah dan mematuhi SOP.
“Buat masa ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sedang giat dilaksanakan namun semua pihak perlu melaksanakan tindakan kesihatan awam dan berada di rumah.
“Apabila perlu keluar, pakai pelitup muka dan jaga penjarakkan sosial serta kerap mencuci tangan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya akan mengambil alih dua hospital dalam usaha merawat pesakit Covid-19 dengan menggunakan Ordinan Darurat.
“Ia melibatkan Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Pengambilan dua hospital terbabit berikutan kekosongan yang ada di hospital berkenaan seperti Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM mempunyai kekosongan 243 katil dan 20 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya. – UTUSAN ONLINE