Bilangan jemaah baharu enam daerah PKP di Selangor - Utusan Malaysia

Bilangan jemaah baharu enam daerah PKP di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor membuat ketetapan baharu bagi solat fardu Jumaat, lima waktu dan solat sunat tarawih di semua masjid serta surau susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini yang melibatkan enam daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah dibenarkan seramai 500 jemaah termasuk pentadbir manakala solat Jumaat dan solat lima waktu sebanyak 200 jemaah.

Beliau berkata, bagi solat tarawih di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dihadkan 600 orang dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah pula 550 jemaah.

“Bagi masjid institusi pula, seramai 200 orang termasuk pentadbir dibenarkan bagi ketiga-tiga solat sementara bagi masjid pengurusan serta masjid kariah pula seramai 100 jemaah termasuk pentadbir.

“Surau solat Jemaah pula dibenarkan seramai 50 individu untuk ketiga-tiga solat manakala surau kariah pula hanya dibenarkan jemaah bagi solat fardu dan tarawih.

“Bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor adalah kekal mengikut ketetapan terdahulu,” katanya menerusi Facebook rasminya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zawawi, pelaksanaan solat Aidilfitri disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, enam daerah iaitu di Petaling, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sepang dikenakan PKP mulai 6 hingga 17 Mei. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN