JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mentransformasi semua bilik gerakan dan pejabat parti baik di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan untuk dijadikan pusat bagi membantu pendaftaran vaksin.
Ketua Sekretariat Khas Covid-19 Bersatu Johor, Rasman Ithnain berkata, transformasi tersebut bagi menumpukan kepada kerja memerangi pandemik tersebut dan melupakan soal politik kepartian buat sementara waktu.
Beliau berkata, langkah itu juga sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan situasi semasa Covid-19.
“Maka hasil perbincangan segera Bersatu Johor, satu ketetapan telah dicapai untuk mengarahkan semua jentera gerak kerja politik untuk menumpukan sepenuhnya kekuatan dan sumber dalam memerangi pandemik Covid-19.
“Politik dan beza parti wajib ditinggalkan kerana perang berdepan Covid-19 ini sangat kritikal dan ia bukan sahaja melibatkan nyawa tetapi masa depan negara. Arahan ini telahpun dikeluarkan pada hari sama Tuanku bertitah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, sebanyak 10,000 botol air mineral dan pelbagai bantuan makanan serta bekalan pelitup muka diagihkan Bersatu Johor kepada UTM dan dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pasir Gudang dan Kempas. – UTUSAN ONLINE