Berpusu ke pasar raya mampu cetus impak Covid-19 yang buruk di Besut - Utusan Malaysia

Berpusu ke pasar raya mampu cetus impak Covid-19 yang buruk di Besut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tindakan penduduk Besut berpusu-pusu keluar membeli barangan keperluan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mampu mencetuskan impak Covid-19 yang lebih buruk di daerah itu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, orang ramai sepatutnya mengambil iktibar kes Kluster Jalan Tuan Hitam yang melibatkan sebuah pasar raya apabila 44 daripada 97 pekerja premis berkenaan disahkan positif Covid-19.

Katanya, kes indeks dikesan pada 9 Mei lalu kerana bergejala dan antaranya yang dijangkiti selepas seminggu termasuk juruwang.

“Bayangkan dalam masa seminggu ribuan pembeli dari seluruh Besut datang dan berhubung rapat dengan juruwang atau pekerja pasar raya itu dan bagaimana kita mahu mencari mereka kerana majoriti kes Covid-19 kini tidak bergelaja.

“Sebab itu kami seriau memikirkan impak yang besar ekoran kluster pasar raya ini tidak kah kalian terfikir tindakan berpusu-pusu mendapatkan barangan keperluan berisiko kepada jangkitan dan akhirnya mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster PKPD?,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.

Seluruh daerah Besut dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 4 Jun susulan sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu dikesan membabitkan daerah berkenaan yang sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.

Nor Azimi turut mempersoalkan adakah masyarakat tidak takut risiko jangkitan dalam kalangan mereka berpusu-pusu itu kerana berkemungkinan terdapat kes positif Covid-19 yang masih belum dikesan.

Katanya, jika keadaan tersebut berterusan tentunya tempoh PKPD selama dua minggu di Besut tidak mencukupi untuk memutuskan rantaian Covid-19 di daerah itu.

“Warga Besut kena bersungguh-sungguh untuk menang dengan cara kekal duduk di rumah, mengehadkan pergerakan hanya apabila perlu di samping mengelak berkumpul beramai-ramai dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Saya sentiasa mengulangi benda yang sama kerana ini sahaja yang mampu memutuskan rantaian jangkitan dan kita tidak mahu ada lagi kematian dilaporkan dari Besut,” katanya.

Menurut Nor Azimi, ketika ini seramai lima warga Besut berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya