Aidilfitri: USIM hantar pulang 440 pelajar - Utusan Malaysia

Aidilfitri: USIM hantar pulang 440 pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menguruskan penghantaran pulang seramai 440 pelajarnya menggunakan kenderaan khas universiti bermula esok sehingga 12 Mei ini ke 12 buah negeri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd. Jailani berkata, proses penghantaran berkenaan melibatkan penggunaan 18 buah kenderaan universiti iaitu bas dan kenderaan pelbagai guna.

Katanya, penghantaran kumpulan pelajar ini akan dilakukan secara berfasa ke zon-zon yang dikenal pasti.

Tambahnya, kumpulan penuntut berkenaan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor mengikut jadual masa dan hari bertolak yang disusun oleh jawatan kuasa khas.

“Pergerakan pertama pelajar bermula pada pukul 8 pagi esok ke destinasi pertama iaitu Kelantan dan Terengganu.

“Pergerakan terakhir adalah pada Selasa ini iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Rushdan, kumpulan pelajar yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti hanya dibenarkan oleh universiti untuk pulang kenderaan sendiri dan dijemput oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Jelas beliau, pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

“Semua pelajar ini kita wajibkan mendaftarkan maklumat mereka secara dalam talian (online) di capaian khas yang kita sediakan dan turut diberikan Surat Kebenaran Rentas Daerah/Negeri daripada USIM sebagai rujukan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, seramai 66 pelajar memilih terus tinggal di kampus semasa cuti Hari Raya Aidilfitri ini dan pihak universiti melalui Pusat Perumahan Pelajar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan memastikan kebajikan dan keselamatan sentiasa diberi perhatian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN