PUTRAJAYA: Sejumlah tujuh lagi lokaliti berbeza di seluruh negara bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama 14 hari mulai Sabtu hingga 11 Jun ini antaranya Mukim Sitiawan yang meliputi Sitiawan, Seri Manjung dan Ayer Tawar di Daerah Manjung, Perak.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, 135 kes dicatatkan semasa antara 10 Mei sehingga 23 Mei lalu sekali gus menyumbang sebanyak 58.7 peratus kes di daerah itu.
“Kes naik dalam kawasan berkepadatan tinggi serta jangkitannya dalam komuniti di mukim ini yang turut melibatkan banyak pekan seperti Kampung Koh dan Pasir Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, turut dikenakan PKPD ialah Bandar Triang, Pekan Kemayan dan Gugusan Mendi di Daerah Bera, Pahang susulan 76 kes baharu direkodkan dengan kadar positif ialah enam peratus.
Tidak ketinggalan, kata Ismail Sabri, ialah Mukim Kuala Berang, Daerah Hulu Terengganu, Terengganu apabila merekodkan 37 kes dengan peningkatan sudah pun melebihi 17 peratus.
“Sementara di Sabah pula, dua perkampungan di negeri tersebut turut dikenakan PKPD melibatkan Kampung Baru Durok, Daerah Keningau, Bahagian Pedalaman dan Kampung Mook, Kinarut, Daerah Papar, Bahagian Pantai Barat.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 724 individu ditahan semalam dengan seramai 712 individu dikenakan kompaun manakala 12 lagi direman hasil pemantauan melibatkan 15,101 anggota Task Force Operasi Pematuhan.
“Kesalahan tertinggi kali ini ialah gagal menjaga jarak fizikal iaitu sebanyak 227 kes diikuti tidak merekod butiran diri dengan 148 kes, tidak memakai pelitup muka (130), tidak patuh arahan PKP (68), rentas kawasan tanpa kebenaran (88) dan lain-lain (88).
“Seramai 15 pendatang asing tanpa izin diusir dan tiga kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng semalam selain sebanyak 177 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 10 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 556 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka sudah dikuarantin dengan sejumlah 8,230 individu masih lagi menjalani proses itu selain seramai 2,182 individu dibawa ke hospital, manakala 202,005 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah. – UTUSAN ONLINE