KUALA LUMPUR : Malaysia tidak perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-18 sebaliknya boleh ditangani secara bersasar dan proaktif.
Penasihat Penyelidik Institusi Penyelidikan Khazanah, Profesor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata, Taiwan dan Korea Utara adalah antara contoh negara tidak melaksanakan PKP dan berjaya menangani Covid-19 lebih berkesan.
Sebaliknya, kata beliau, Malaysia telah melalui tempoh PKP dan darurat, namun belum berjaya mengawal pandemik dan kesan buruk kepada ekonomi.
“Justeru, perlu ada langkah berkesan dan bersasar untuk tangani Covid-19 dan contoh seperti PKP dan darurat adalah tidak perlu untuk mengawalnya,” katanya dalam sidang akhbar Jawatankuasa Tamatkan Darurat di sini hari ini.
Jomo menambah, pandangan beliau itu tidak bermakna menafikan pengorbanan petugas barisan hadapan yang setiap masa bertungkus-lumus sepanjang PKP mengawal Covid-19.
Namun, kata beliau, kerajaan perlu melakukan langkah berkesan di dalam usaha memulihkan ekonomi dan sektor kesihatan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan belajar dengan negara seperti Laos dan Vietnam yang antara contoh terawal serta terbaik mengawal pandemik.
Katanya, Malaysia perlu mengetepikan sikap ego untuk belajar dan dengan hanya berpandukan kepada negara barat untuk mengekang Covid-19 serta memajukan ekonomi negara.
“Malaysia jangan jadi ‘bodoh sombong’ dan perlu belajar dengan Vietnam dan Laos sedangkan kedua-dua negara ini dahulunya berada di belakang kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE