KOTA BHARU: Punca rezekinya terjejas teruk sehingga ansuran rumah tertunggak selama tujuh bulan dan menunggu masa untuk dilelong. Keretanya pula ditarik pihak bank kerana masalah sama.
Demikian masalah yang membelenggu peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47, dalam tempoh setahun negara dilanda pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahad lalu, lelaki berasal dari Bukit Tinggi yang berniaga di Jalan Chempaka, dekat sini itu terus ditimpa musibah apabila dikompaun pula RM50,000, atas kesalahan beroperasi lebih masa ditetapkan iaitu selepas pukul 10 malam.
Menceritakan semula kejadian kira-kira pukul 11.40 malam, Mansah berkata, dia terkejut apabila salah seorang daripada empat anggota polis yang ‘singgah’ ke kedainya mengeluarkan kompaun RM50,000.
“Ketika mereka menyerbu kedai, saya sebenarnya sudah menutup pintu besar kedai, tetapi pintu kecil masih belum berkunci kerana ada saudara sebelah isteri datang ketika itu dan kami berbual seketika.
“Saya sudah memberi penjelasan sebenar kepada kumpulan polis berkenaan sambil menunjukkan pintu jeriji yang sudah pun ditutup namun alasan saya tidak dihiraukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mansah, pendapatan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada jualan kedai runcit manakala isterinya pula tidak bekerja.
“Saya memang tidak mampu membayar kompaun RM50,000 kerana bayaran rumah yang tertunggak tujuh bulan pun belum dijelaskan lagi dengan sebuah kereta sendiri sudah kena tarik pihak bank,” katanya.
Mansah memberitahu dia akan membuat rayuan pengurangan kompaun dan berharap ada pihak lain sudi membantu meringankan beban sebagaimana dua peniaga yang dikompaun nilai serupa sebelum ini.
Sebelum ini tular kisah peniaga burger dan peniaga colek yang dikompaun RM50,000 atas kesalahan beroperasi lebih masa ketika PKP masih dikuatkuasakan di Kelantan sehingga mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.
Susulan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan pihaknya mengambil pendekatan meneliti semula nilai kompauan sebanyak RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga pada Ahad lalu. – UTUSAN ONLINE