12 kes positif Covid-19, SMK Imtiaz YT Setiu ditutup - Utusan Malaysia

12 kes positif Covid-19, SMK Imtiaz YT Setiu ditutup

Institusi pendidikan dan semua sekolah perlu patuh MySOP ditetap Majlis Keselamatan Negara. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Setiu di Setiu, dekat sini ditutup selama 14 hari berikutan 11 pelajar dan seorang gurunya dikesan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penutupan sementara berkuat kuasa dari 28 April hingga 11 Mei itu bagi membolehkan kerja-kerja nyah kuman dilakukan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, kesemua yang positif pandemik berkenaan kini dirawat di hospital dan dilaporkan stabil.

“Saringan sudah dibuat membabitkan keseluruhan pelajar, guru dan kakitangan sekolah itu,” katanya hari ini.

Setakat semalam, jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan di Terengganu adalah sebanyak 211 kes dengan 120 daripadanya di Besut, diikuti 32 kes di Kuala Nerus, Kuala Terengganu (24 kes), Setiu (16 kes), Marang (lapan kes), Dungun (lapan kes), Kemaman (dua kes) dan Hulu Terengganu (satu kes).

Sementara itu, Nor Azimi tidak menafikan jangkitan Covid-19 di sekolah mahu pun institusi pendidikan lain berpunca daripada komuniti berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sukar dalam kalangan murid sekolah rendah di samping di asrama.

Namun, katanya, langkah pencegahan boleh dilaksanakan warga institusi pendidikan bagi mencegah penularan yang lebih besar termasuk amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sepanjang berada di sekolah.

Katanya, jika guru tidak selesa dengan pelitup muka ketika mengajar, maka disarankan penggunaan penghadang muka bagi mengelakkan titisan pernafasan atau air liur daripada terkena pelajar atau permukaan dalam kelas.

“Guru perlu sentiasa menjaga jarak dengan pelajar termasuk semasa hafazan al-Quran kerana lebih daripada satu kes jangkitan dikesan berlaku pada sesi itu.

“Di samping itu, proses nyah kuman juga perlu kerap dilakukan di lokasi seperti tandas, bilik rehat, perpustakaan dan surau selain memperkasa ketua kelas atau ketua asrama untuk melaporkan mana-mana pelajar yang bergejala agar pengasingan segera dapat dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN