PETALING JAYA: Semua wakil rakyat DAP digesa mempergiat kempen pendaftaran vaksin Covid-19 di seluruh negara agar kempen imunisasii pandemik berjalan lancar di samping dapat mengembalikan kehidupan rakyat secara normal sebelum penularan wabak itu.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 dilihat masih rendah apabila hanya 5.6 juta pendaftaran direkodkan, malah pendaftaran baharu di bawah paras 100,000 pada 14 dan 15 Mac lalu.
Katanya, jumlah pendaftaran setakat ini merangkumi sekitar 23.4 peratus daripada 24.1 juta pendaftaran yang disasarkan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok.
“Memandangkan seriusnya masalah ini, saya menyeru agar semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP untuk menjalankan kempen pendaftaran vaksin Covid-19 di seluruh negara di pelbagai tempat termasuklah pasar pagi, pasar malam, pusat khidmat masing-masing, pusat beli-belah, kedai kopi dan lokasi-lokasi lain yang sesuai.
“Semua Pengerusi DAP negeri perlu menubuhkan Jawatankuasa Pendaftaran Vaksin Covid-19 untuk memimpin inisiatif pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hanya dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing, negara akan dapat mencapai cita-cita untuk mencapai imuniti kelompok dan mengembalikan kehidupan secara normal semula seperti mana sebelum penularan wabak Covid-19.
Katanya, justeru itu DAP kini bersedia untuk memainkan peranan sebaik mungkin bagi mencapai matlamat ini.
Dalam pada itu, Kit Siang menambah pihak berkuasa perlu menyusun semula strategi untuk mempercepat kempen imunisasi kebangsaan dan tidak bergantung sepenuhnya pada aplikasi MySejahtera, membuka pendaftaran bukan hanya melalui pendaftaran dalam talian tetapi juga dari luar talian.
“Ia dapat mengumpulkan lebih banyak pihak yang berkepentingan ke dalam program ini, termasuklah hospital swasta dan doktor am dalam negara, dan membolehkan syarikat, persatuan dan organisasi sukarela membantu dalam proses pendaftaran vaksinasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE