HULU TERENGGANU: Kira-kira 2,300 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kesemua penguat kuasa berkenaan perlu menunggu giliran sebagaimana orang awam kerana bukan dalam senarai petugas barisan hadapan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyenaraikan penguat kuasa KPDNHEP sebagai petugas barisan hadapan yang menerima vaksin pada fasa pertama ini.
“Penguat kuasa kita sentiasa turun ke lapangan untuk menjalankan pemantauan harga barangan serta tugasan lain sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-19
“Saya berharap permohonan kita mendapat pertimbangan MOSTI,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Berang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosol menyeru para peniaga di negara ini untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kerana mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan wabak.
“Kita tiada data berapa peniaga yang sudah mendaftar tetapi selepas ini kita akan buat bagi memudahkan pemantauan,” katanya. – UTUSAN ONLINE