Tindakan tegas jika ketua polis negeri gagal pantau anggota - Utusan Malaysia

Tindakan tegas jika ketua polis negeri gagal pantau anggota

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana ketua polis negeri jika gagal mengawal anggota petugas sekatan jalan raya (SJR) di bawah kawasan kendalian mereka yang tidak melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab.

Amaran itu dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyatakan kekesalannya selepas menerima aduan terdapat sekelompok petugas didakwa mengambil ringan tanggungjawab berkawal di setiap SJR termasuk sempadan setiap negeri.

Beliau berkata, arahan dikeluarkan kepada semua ketua polis negeri seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak supaya mengetatkan kawalan di setiap SJR.

“Sejak lima hari kebelakangan ini statistik kes jangkitan Covid-19 harian menurun, itu menunjukkan satu petanda baik.

“Bagaimanapun, kawalan-kawalan SJR termasuk di Lebuhraya Utara Selatan dan Timur Barat sempadan negeri dilaksanakan semaksimum mungkin.

“Pemeriksaan kenderaan dibuat secara lebih gigih dan tegas bagi mengelak sebarang percubaan rentas negeri ikut mana-mana laluan termasuk lorong tikus,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, hasil pemerhatiannya mendapati sebilangan anggota di lapangan duduk di dalam khemah rehat dan membiarkan kenderaan lalu begitu sahaja sambil melambai tangan tanpa mengambil serius keadaan semasa.

“Saya sama sekali tidak segan dan malu untuk mendedahkan kelemahan ini walaupun sangat menghargai khidmat gigih sebahagian besar petugas PDRM di lapangan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Cuma saya kesal segelintir kelompok mengambil ringan tanggungjawab mereka di lapangan. Saya tak mahu PDRM dipersalahkan dan tak sanggup lihat sekali wujud kluster rentas negeri seperti sebelum ini,” jelasnya.

Justeru, beliau memberi amaran kepada pegawai supaya meningkatkan kawalan ketegasan mereka bagi mengelak berlaku rentas daerah dan negeri sewenang-wenangnya.

“Saya tidak menolak kemungkinan berlaku pergerakan yang mana ada sebahagian rakyat curi-curi balik ke negeri-negeri seperti Pantai Timur, Perak dan Pulau Pinang. Maka saya pastikan pegawai tinggi setiap negeri dan dari Bukit Aman turun memantau operasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya