BAGAN DATUK: Majlis perkahwinan pasangan Heng Muleong, 27, dan isterinya, Tan Meow Teng di sini sangat bermakna apabila mereka akhirnya dapat melangsungkan perkahwinan setelah tertangguh sejak hampir setahun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pasangan berkenaan melangsungkan majlis dan istiadat perkahwinan secara ringkas yang dihadiri ahli keluarga terdekat di Kampung Bagan Sungai Burung, dekat sini kelmarin.
Muleong berkata, mereka sepatutnya melangsungkan perkahwinan Mei tahun lalu tetapi tertangguh disebabkan pelaksanaan PKP yang berterusan.
“Majlis perkahwinan yang kami rancang setahun lalu asyik tertunda, kadangkala PKP, selepas itu PKP Bersyarat (PKPB) pula.
“Setelah kerajaan memberikan kelonggaran majlis sosial termasuk perkahwinan boleh diadakan baru-baru ini, kami ambil keputusan mengadakan majlis perkahwinan. Bimbang tak dapat kahwin langsung jika PKP dilaksanakan semula, lebih elok kahwin sekarang ketika ‘mood’ kerajaan sedang baik dengan melaksanakan PKPB,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, majlis perkahwinannya berlangsung secara sederhana dengan jumlah tetamu yang terhad kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sementara itu, Meow Teng mengakui agak bimbang untuk melangsungkan perkahwinan ketika Covid-19 masih menular dalam komuniti.
“Tetapi kami sudah tangguh perkahwinan hampir setahun. Sementara kerajaan beri kelonggaran boleh adakan majlis sosial termasuk perkahwinan, kami melangsungkan perkahwinan,” katanya. – UTUSAN ONLINE