PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama yang memulakan pengambilan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech hari ini di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, di sini.
Tarikh hari ini adalah genap 21 hari Perdana Menteri menerima dos pertama vaksin Comirnaty itu pada 24 Februari lalu.
Selain Perdana Menteri, turut menerima dos kedua ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Pada 24 Februari lalu, Muhyiddin menerima vaksin dos pertama di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, menjadikan beliau rakyat pertama yang menerima vaksin itu di negara ini.
Sebelum itu, Muhyiddin yang tiba pada pukul 3.05 petang disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Dr. Noor Hisham mengenai vaksin.
Muhyiddin dibawa ke stesen suntikan sebelum diberi penerangan ringkas sebelum disuntik vaksin menggunakan picagari khas Low Dead Volume (LDV) oleh Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar pada pukul 3.16 petang.
Muhyiddin kemudian menunjukkan plakad, ‘Saya sudah lengkap dua dos’.
Beliau kemudian dibawa ke bilik khas untuk berehat selama 30 minit seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan ke atas mana-mana individu yang mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham pula disuntik dos kedua vaksin Covid-19 empat minit kemudian oleh Ketua Jururawat Kesihatan PKD Putrajaya, Lina Ibrahim.
Selain dua pemimpin itu, enam petugas kesihatan juga menerima suntikan vaksin iaitu Pegawai Perubatan, Dr. Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu Kementerian Kesihatan, Clement a/l Marai Francis manakala tiga jururawat iaitu, Lina, Mazirah dan Sheilla Mellisa Sikin.