IPOH: Polis sedang mengesan 23 pekerja warga asing di kilang pakaian antarabangsa Emerald Garments yang tiada di asrama dipercayai berada di tempat lain semasa kilang tersebut ditutup.
Bagaimanapun, mereka berkemungkinan masih berada di kawasan sekitar Tasek di sini dengan tinggal menumpang di rumah sewa rakan-rakan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mereka diminta tampil agar boleh ditempatkan di asrama pekerja di Flat Anjung Tawas Damai, Tasek yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menurut beliau, pelaksanaan PKPD untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni dan mengawal penularan dalam komuniti itu.
“Pada masa ini terdapat 181 pekerja yang berada di asrama termasuk 17 pekerja yang sebelumnya tinggal menyewa di luar bagi memudahkan pemantauan.
“Manakala 334 orang yang disahkan positif Covid-19 sudah dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
“Seramai 43 lagi pekerja lain yang positif pula kini di tempatkan di lain-lain pusat rawatan,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Pusat Kejadian di Flat Anjung Tawas Damai, di sini hari ini.
Seramai 21 penduduk warga tempatan dipindahkan ke pusat kuarantin Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan.
Asmadi berkata, selain mengawasi penghuni yang ada, penugasan anggota polis dan tentera di asrama itu juga adalah untuk menjaga keselamatan premis.
Semalam, kawasan asrama pekerja kilang pakaian Imperial Garments ini dikenakan PKPD berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 susulan saringan yang dilakukan bermula 23 Februari lalu.
Dua blok flat lima tingkat ini dijadikan asrama pekerja kilang tekstil itu yang menempatkan kira-kira 439 penghuni daripada keseluruhan pekerja yang berjumlah 653 orang.
Kilang tekstil pelbagai jenama terkenal global itu dimiliki oleh syarikat TAL Group berpusat di Hong Kong, China dan beroperasi di kawasan perindustrian Tasek sejak tahun 1987. – UTUSAN ONLINE