PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang didapati menghasut orang ramai supaya menolak pengambilan vaksin Covid-19 adalah satu kesalahan berdasarkan Ordinan Darurat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis boleh mengambil tindakan terhadap kesalahan itu kerana boleh mendatangkan satu khianat awam dengan niat menakutkan orang ramai.
“Semalam, saya difahamkan polis sudah membuat kenyataan. Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara sudah membuat kenyataan bahawa ia satu kesalahan yang boleh diambil tindakan.
“Jadi, melalui Ordinan Darurat yang dipinda, tindakan segera boleh diambil terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar, di pejabat beliau hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta orang ramai tidak salah faham berhubung pelaksanaan kompaun maksimum RM10,000 bagi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sehingga menganggap ramai menjadi mangsa undang-undang yang begitu keras.
Beliau menjelaskan, had maksimum kompaun itu kepada setiap kesalahan tidak semestinya dikenakan dengan jumlah tersebut kerana setiap kes boleh dibuat rayuan kepada pegawai kesihatan daerah.
Bagaimanapun, kata beliau, Ketua Polis Negara turut memberi penjelasan bahawa tindakan maksimum kompaun hanya bagi kesalahan berulang dan kesalahan-kesalahan lain yang dianggap serius seperti perlanggaran di kelab malam.
“Sebagai contoh kerajaan menyenaraikan kelab malam sebagai senarai terlarang dan langsung tidak boleh dibuka tetapi setiap hari ada tangkapan di pusat hiburan itu. Mereka inilah yang mungkin dikenakan kompaun tinggi kerana kedegilan itu.
“Berkemungkinan juga bagi kesalahan melibatkan individu yang memakai gelang kuarantin, tetapi mereka berdegil keluar di tempat awam yang kesannya boleh menjangkiti orang lain,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri meminta semua pihak memberi keyakinan penuh kepada polis untuk menggunakan kuasa yang ada pada mereka dan menggunakan budi bicara terbaik.
“Ia bukan bererti memberi kesempatan kepada pihak polis untuk mengenakan tindakan kompaun lebih tinggi. Jadi jangan rasa sangsi terhadap tugas polis dan menganggap polis kejam dan sebagainya.
“Orang ramai tidak perlu rasa bimbang dan percayalah tidak akan ada penganiayaan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE