KUANTAN: Dewan Diraja Almarhum Sultan Hussain Shah (Tengku Long) Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah III akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Johor ke-18 itu yang terpaksa ditangguhkan tahun lalu berikutan penularan Covid-19.
Menurut Pengelola Adat Istiadat Dewan, Tengku Samsudin Tengku Long, majlis tersebut akan diadakan selepas solat Maghrib pada 22 Mac ini.
Beliau berkata, majlis berkenaan akan diadakan di Hotel Grand Darul Makmur di sini yang mana turut melibatkan waris kerabat-kerabat Almarhum Tengku Long.
“Majlis bacaan Yasin dan tahlil ini diadakan setiap tahun bagi memperingati kemangkatan Almarhum.
“Selain itu, ia juga menjadi penyambung tali silaturahim dan peluang kepada generasi baharu mengenali antara satu sama lain serta dapat mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tengku Samsudin berkata, majlis berkenaan akan turut disertai pelajar maahad tahfiz dari daerah ini.
“Sempena majlis itu, akan diadakan penyampaian sumbangan kepada tujuh buah tahfiz untuk meringankan sedikit sebanyak bebanan mereka memenuhi keperluan pengurusan tahfiz,” katanya.
Sultan Hussain Shah dilantik sebagai Sultan Johor pada 6 Februari 1819 dan mangkat pada 5 September 1835.