Kekalkan harga pakej pelancongan - Utusan Malaysia

Kekalkan harga pakej pelancongan

N. MARIMUTHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi memastikan orang ramai mendapat manfaat merentas negeri untuk melancong ke lima negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), agensi-agensi pelancongan dinasihatkan tidak ghairah menaikkan harga pakej percutian mereka kerana tindakan itu boleh merencatkan permintaan dalam sektor berkenaan.

Ini kerana kebenaran merentas negeri bagi tujuan pelancongan dengan menggunakan agensi perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. N. Marimuthu berkata, agensi pelancongan sepatutnya tidak mengambil kesempatan dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Saya berpesan kepada agensi-agensi pelancongan dalam negara supaya bersikap berpada-pada dan kekalkan harga pakej-pakej percutian.

“Jangan kita terlalu ghairah dan rakus inginkan keuntungan sehingga membebankan orang ramai yang ingin bercuti,” katanya semalam.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan Gelembung Pelancongan Bersasar yang membenarkan pelancong bergerak dari kawasan PKPP merentas negeri PKPP lain.

Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.

EZRA LAVANYA

Sementara itu, pekerja swasta, Ezra Lavanya, 26, berharap agensi pelancongan memahani bahawa orang ramai juga terjejas ekoran pandemik Covid-19.

“Setelah sekian lama menantikan kebenaran untuk merentas negeri, sudah tentu ramai mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga dan merehatkan minda. Sekiranya harga dinaikkan, tidak semua mampu untuk menampung kos yang tinggi terutama untuk bercuti dalam negara.

“Harapnya, agensi-agensi itu tidak bermaksud menaikkan harga, sebaliknya harus menyediakan pakej-pakej yang ampu ditanggung rakyat yang sangat memerlukan percutian setelah lama ‘terkurung’ dalam bandar,” katanya.

MUSIRAH MUNAF

Senada dengan itu, pelajar, Musirah Munaf, 24, berpandangan tiada keperluan untuk agensi-agensi pelancongan menaikkan harga pakej.

“Saya yakin apabila rentas negeri dibenarkan sepenuhnya, rakyat Malaysia sudah tentu akan mengambil peluang beristirehat bersama keluarga dan kawan-kawan. Maka sudah tentu perniagaan agensi-agensi ini akan berkembang semula.

“Saya yakin agensi pelancongan juga sudah tentu mengambil kira pelbagai pandangan sebelum membuat sebarang keputusan terutama isu berkaitan harga seperti ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya