Individu pemain industri pelancongan perlu divaksin pada fasa kedua

Individu pemain industri pelancongan perlu divaksin pada fasa kedua

AMINUDDIN Harun (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian Taman Rekreasi Air Seremban di Taman Tasik Seremban, Seremban, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu individu terlibat dalam industri pelancongan diberikan vaksin segera pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai langkah memulihkan industri itu yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut sedang diteliti oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihaknya yakin langkah itu dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk bercuti dalam negara.

“Industri pelancongan amat terjejas teruk berbanding industri lain sejak awal pandemik Covid-19 sehinggalah sekarang. 

“Jadi saya bersetuju jika pemain industri pelancongan ini dapat diberi keutamaan sebagai penerima vaksin pada fasa kedua agar mereka yang mahu bercuti rasa lebih selamat sebaik sahaja diberi kebenaran untuk merentas negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Air Seremban di sini hari ini.

Yang hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Zazali Salehudin.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Taman Rekreasi Air Seremban di Taman Tasik Seremban itu telah dijenamakan semula dan diberikan nafas baharu sebagai tarikan terbaharu kepada pengunjung.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM340,000 di bawah produk pelancongan kerajaan negeri.

“Taman ini merupakan produk pelancongan baharu di Taman Tasik Seremban yang kini telah berumur lebih 100 tahun. 

“Pembangunan ini akan memberi impak kepada perekonomian secara hiliran kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang terlibat,” katanya. 

Menurut Aminuddin, pembangunan di Taman Rekreasi Air Seremban itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan memandang serius pembangunan pelancongan di negeri ini.

“Ini sekali gus memberi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada dan pemangkin untuk melonjakkan lagi momentum sektor pelancongan di daerah Seremban,” katanya lagi.

Aktiviti rekreasi air di Taman Tasik Seremban itu mula dibuka kepada orang ramai pada Oktober lalu dengan waktu operasi dari pukul 2 petang hingga 7 malam pada Isnin hingga Jumaat manakala pada hujung minggu bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam.

Pihak penganjur turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi semua permainan air sehingga Jun 2021. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya