'Hari-hari balik tangan kosong' - Utusan Malaysia

‘Hari-hari balik tangan kosong’

BEBERAPA pengayuh beca menunggu pelanggan mendapatkan perkhidmatan mereka di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ketika pelbagai sektor lain mula bangkit selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah, 16 pengayuh beca yang beroperasi di sekitar bandar ini terus ‘terduduk’ kerana masih terputus punca rezeki.

Kumpulan yang kesemuanya warga emas itu dilihat hanya mampu termenung di hadapan beca masing-masing sehingga sehari suntuk tanpa ada siapa pun berminat mendapatkan perkhidmatan mereka.

Pengerusi Persatuan Penarik Beca Kelantan, Che Udi Che Pa berkata, apabila rentas daerah dibenarkan, dia keluar mencari pelanggan tiga hari berturut-turut dari pagi hingga petang namun tetap pulang dengan tangan kosong.

“Sebelum musim Covid-19, pendapatan saya antara RM30 hingga RM50 sehari tetapi sekarang langsung tidak ada. Kalau dapat RM10 pun sudah cukup bertuah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Che Udi, 66, berkata, mereka kehilangan sebahagian besar pelanggan utama iaitu pelancong asing selepas sempadan negara ditutup pada Mac tahun lalu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pelancong domestik dari luar Kelantan.

“Sekarang ini rentas negeri pun tak boleh, jadi orang luar tidak dapat melancong ke sini.

“Orang Kelantan pula sudah jarang keluar kerana takutkan Covid-19. Kalau keluar pun, mereka memang tidak naik beca. Jadi, kami hari-hari balik dengan tangan kosong,” keluhnya yang mula mengayuh beca sejak berusia 20 tahun.

Seorang lagi pengayuh beca, Mansur Saadan, 69, berkata, ada rakan seperjuangan yang benar-benar terdesak memerlukan wang membuat keputusan menjual beca dengan harga murah demi kelangsungan hidup.

Namun, baginya, biarpun pendapatan ‘kosong’ hampir setiap hari, dia tidak berhenti mengayuh sambil disusuli dengan tawakal, berbanding terus berputus asa begitu sahaja.

“Sekarang saya keluar pukul 8 pagi dan balik pukul 12.30 tengah hari kerana faktor usia selain cuaca panas.

“Kalau diikutkan memang tidak ada penumpang ketika ini tetapi saya tetap menyediakan perkhidmatan beca kerana ini sahaja yang saya tahu untuk cari rezeki dan sara keluarga sejak 40 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN