GEORGETOWN: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati ‘memotong barisan’ untuk menjadi penerima awal suntikan vaksin Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana pada masa ini petugas barisan hadapan adalah mereka yang perlu diberi keutamaan memandangkan risiko jangkitan adalah tinggi kepada golongan berkenaan.
“Mereka yang potong barisan perlu dikenakan tindakan, perkara ini tidak boleh dibenarkan berlaku.
“Kalau mereka potong barisan, kita mungkin langsung tidak ada dalam barisan nanti (senarai penerima vaksin),” katanya dalam sidang akhbar di Pasar Chowrasta di sini semalam.
Sebelum ini, tular mesej di media sosial mendakwa terdapat 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba ‘memotong barisan’ untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan isu berkenaan tidak akan timbul setelah kerajaan mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, beliau mahu penjelasan daripada Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengapa petugas hadapan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak disenaraikan sebagai penerima awal vaksin Covid-19.
Katanya, anggota PBT adalah wira barisan hadapan di Pulau Pinang serta di seluruh negara sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
“Mereka sentiasa terdedah kepada risiko Covid-19 dan berada di lapangan untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis perniagaan dan kemudahan awam.
“Jadi, mengapa anggota PBT ini tidak disenaraikan sebagai antara penerima awal vaksin Covid-19 di dalam Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan semalam?,” katanya. – UTUSAN ONLINE