KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 74, hari ini menerima vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering, di sini.
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas disuntik ketua jururawat, Raziah Hanim Mamat kira-kira pukul 10.11 pagi.
Beliau antara penerima vaksin Covid-19 tertua di Malaysia selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 96, di samping isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 95.
Abdul Hadi ketika ditemui berkata, prosedur vaksinasi Covid-19 yang dijalani hari ini sama seperti rutinnya mendapatkan rawatan di hospital.
“Saya sudah biasa setiap dua minggu sekali ke hospital, jadi proses yang dilakukan tadi macam biasa.
“Mendapatkan suntikan Covid-19 adalah antara ikhtiar kita selain bertawakal kepada Allah dan usaha untuk mencegah sebelum sakit itu sangat penting,” katanya kepada pemberita hari ini. – UTUSAN ONLINE