PUTRAJAYA: Seramai 75 pelacur antara yang ditahan kerana ingkar prosedur operasi stanbdard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 451 individu yang diberkas atas sebab tidak mematui SOP .
“Daripada jumlah itu, 393 dikompaun manakala baki 58 lagi direman dengan kes tertinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 129,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Diikuti aktiviti pusat hiburan (82), tidak patuh jarak fizikal (79), kegiatan pelacuran (75), rentas kawasan tanpa izin (28), tiada pelitup muka (49) dan premis dibuka lebih masa (sembilan).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 69,230 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,922 pasukan di seluruh negara.
Ismail Sabri menambah, seramai 16,643 anggota itu memantau sebanyak 6,318 restoran, 4,617 pasar raya, 4,133 penjaja, 2,703 bank, 2,148 kilang selain 1,217 buah pejabat kerajaan.
Juga 17,012 tempat riadah, 211 rumah ibadah, 156 pasar awam selain 3,469 terminal pengangkutan darat, 1,772 terminal pengangkutan air dan 1,885 terminal pengangkutan udara.
Seramai 24 pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung penularan wabak Covid-19.
“Enam kenderaan darat dirampas selain sejumlah 103 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.
Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 264 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.
Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 78 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam meliputi 32 zon merah, enam zon jingga, tujuh zon kuning dan enam zon hijau.
Ia kata beliau, melibatkan penugasan seramai 408 anggota bomba selain 190 anggota pihak berkuasa tempatan dan turut dibantu dengan penggunaan sebanyak 68 buah jentera bomba.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 788 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 7,300 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 77 buah hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.
Seramai 1,001 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 132,776 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 534 peruncit, 155 pemborong dan 31 pengilang.
Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 1,707 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya satu premis dikenakan kompaun.- UTUSAN ONLINE