KUANTAN: Sejumlah 23,400 dos vaksin keluaran Pfizer untuk penghantaran fasa pertama bagi negeri ini tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dekat sini kira-kira pukul 1.30 petang ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerimaan vaksin fasa pertama itu adalah untuk petugas barisan hadapan, termasuk beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menerima suntikan pada Jumaat ini.
“Secara keseluruhannya kita ada enam fasa penghantaran vaksin dan hari ini, kita menerima ‘shipment’ (fasa) pertama.
“Sebanyak 9,360 dos disimpan di HTAA; 4,680 dos Hospital Lipis; 4,680 di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Rompin sebanyak 3,510 dos dan Hospital Bentong sebanyak 1,170 dos.
“Vaksin ini diberikan kepada 11,700 petugas barisan hadapan dan setiap mereka menerima dua dos dengan jarak masa antara 21 hari dan tiga minggu selepas suntikan dos pertama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, jumlah keseluruhan penghantaran vaksin bagi petugas barisan hadapan ialah 64,350 dos untuk 32,175 ‘frontliners’.
Katanya, bagi fasa kedua suntikan vaksin Covid-19 pula akan diberi keutamaan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mengalami masalah sakit kronik.
“Keutamaan kita sekarang ialah mengenai aspek keselamatan untuk memastikan proses penyimpanan dos vaksin ini berada di tempat yang sesuai dan selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE