Vaksin Comirnaty bahaya? - Utusan Malaysia

Vaksin Comirnaty bahaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak terutama golongan anti vaksin yang cuba mengelirukan masyarakat dengan memburuk-burukkan vaksin Covid-19 diminta merujuk kepada sains dan bukti benar selain berpegang kepada pihak berautoriti dalam isu tersebut.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, kekeliruan yang ditimbulkan itu melalui fakta yang diputar belitkan boleh memberi kesan kepada keyakinan masyarakat untuk menerima vaksin itu.

Lebih menyedihkan, katanya, apabila golongan berkenaan memperlekeh Kementerian Kesihatan bersama barisan petugas barisan hadapan sebagai tikus makmal kerana mereka adalah penerima pertama yang akan diberikan Vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer penghujung bulan ini.

“Begitu hinanya pandangan mereka kepada frontliners yang bersusah payah untuk menyelamatkan dan menguruskan wabak ini sebaik mungkin.

“Amat sedih juga apabila data yang dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berkaitan vaksin Comirnaty ini seolah-olah mereka anggap NPRA cuba menyembunyikan sesuatu seperti kerajaan ini melakukan kezaliman, nak membunuh rakyat dan mahu rakyat jadi cacat dengan diberikan vaksin,” katanya dalam rakaman video menerusi Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, NPRA adalah satu-satunya badan berwibawa dan berautoriti yang menilai, memerhati dan meneliti semua bahan ubat-ubatan yang dibawa masuk dalam negara demi menjaga keselamatan selain melihat keberkesanan dalam kesemua bahan tersebut.

Katanya, pihak berkuasa itu juga turut meneliti segala laporan dan kajian yang dilakukan oleh pihak pengeluar ubat atau vaksin sama ada ia selamat, berkesan dan berkualiti apabila digunakan.

Justeru, kata beliau, adalah tidak munasabah dan mustahil bagi sebuah kerajaan berdaulat mengadakan sesuatu semata-mata ingin mengancam atau memusnahkan rakyat sendiri.

“Kerajaan lakukan sesuatu terbaik untuk kita. Apatah lagi kita maklum kajian yang telah dijalankan dalam isu vaksin ini adalah selamat dan berkesan seperti mana diketahui bahawa seramai 150 juta orang seluruh dunia telah diberikan vaksin Covid-19 dan tidak ada pun mudarat besar berlaku seperti mana diuar-uarkan golongan menentang vaksin ini.

“Mereka menguar-uarkan benda yang kecil dan kita tidak nafikan memang ada kesan sampingan seperti bengkak di tempat suntikan, kenguh bahu, demam atau pening kepala, namun kesan ringan itu akan baik selepas itu dan itu adaalah lebih baik berbanding manfaat untuk mencegah diri kita daripada Covid-19 yang lebih berbahaya,” katanya.

Begitu juga katanya, fakta-fakta yang menyatakan dalam laporan kajian vaksin itu bahawa berlaku muka menjadi herot selepas disuntik vaskin adalah dalam fasa kajian klinikal dan hanya empat orang sahaja yang mengalami situasi itu malah telah pulih selepasnya.

Katanya, sebagai ahli sains dan perubatan akan memahami bahawa segala apa yang dicatat dalam laporan syarikat pengeluar itu adalah berlaku ketika dalam fasa kajian dan ia dinyatakan secara telus.

“Inilah apabila tidak membaca dengan betul dan membuat interpretasi salah menyebabkan masyarakat keliru.

“Saya menyeru mereka yang menentang pemberian vaksin ini yang selalu memutar belit fakta dan menakutkan masyarakat (untuk menghentikannya) atas motif tertentu supaya rakyat tidak yakin apa yang diberikan pihak berwajib,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya