PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin di seluruh negara kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba bermula esok disusuli dengan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari memerlukan bekalan elektrik yang stabil kerana ia perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.
“Perbincangan bersama Kementerian Kesihatan telah dan sedang diteruskan bagi memperinci keperluan kementerian itu terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Baharin berkata, TNB memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.
“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya Normal Off Point (NOP), Automated Transfer Scheme (ATS) dan Remote Terminal Unit (RTU).
“Bagi mengelakkan kegagalan pada sistem, kerja-kerja penyelenggaraan condition-based maintenance (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan.
“TNB juga melakukan sesi keterlibatan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan,” katanya.
Beliau juga memohon kerjasama kontraktor-kontrakor yang melakukan kerja-kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB untuk menghubungi TNB sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.
Pasukan teknikal TNB berada dalam keadaan siap sedia serta set-set janakuasa bergerak diletakkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan di pusat-pusat penyimpanan vaksin.
TNB turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas jika berlaku gangguan.
Jika terdapat sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB atau ingin melaporkan gangguan bekalan, orang ramai disaran untuk menghubungi talian TNB CareLine 15454. – UTUSAN ONLINE