Tiga penumpang bot dikompaun RM1,000 gagal catat butiran diri, suhu - Utusan Malaysia

Tiga penumpang bot dikompaun RM1,000 gagal catat butiran diri, suhu

ANGGOTA Mari­tim Malaysia Zon Kemaman melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot di perairan Kemaman, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Padah tidak mencatatkan butiran diri dan mengimbas suhu ketika menggunakan perkhidmatan bot penumpang di Pelabuhan Kemaman, tiga lelaki dikompaun RM1,000.

Kesemua mereka yang berusia 29 tahun hingga 41 tahun itu dikenakan tindakan tersebut dalam Op Iman yang digerakkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Mari­tim Malaysia) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah di sekitar perairan ini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, dalam operasi itu sembilan individu lain turut diberikan amaran berikutan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

“Kita menahan sebuah bot yang membawa tiga penumpang warga tempatan di Pelabuhan Kemaman dan pemeriksaan mendapati mereka melakukan beberapa kesalahan.

“Ketiga-tiganya ingkar SOP pencegahan Covid-19 kerana gagal mencatatkan butiran diri atau mendaftar aplikasi MySejahtera di samping tidak mengimbas suhu sebelum mendapatkan perkhidmatan bot itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rashidilhadi, kesemua mereka kemudian dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kemaman untuk dikompaun oleh Kementerian Kesihatan sebelum dilepaskan semula.

Katanya, tindakan kompaun itu diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kita terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha bot dan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya