Tetap patuh SOP walaupun vaksin tiba - Utusan Malaysia

Tetap patuh SOP walaupun vaksin tiba

JAGDEEP Singh Deo dalam sidang akhbar mengenai status terkini Covid-19 di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik Covid-19 walaupun vaksin bagi menangani wabak berkenaan telah tiba di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana vaksin berkenaan hanya diterima secara berperingkat oleh 80 peratus rakyat negara ini melalui tiga fasa.

“Ada yang fikir apabila vaksin sampai, kita boleh buat apa sahaja tanpa pedulikan SOP mencegah virus Covid-19.

“Namun, vaksin sebenar bagi mencegah pandemik ini adalah pematuhan SOP. Saya nasihatkan buat masa ini, sila patuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor kira-kira pukul 10 pagi manakala di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini kira-kira 5.30 petang.

Ketibaan vaksin itu membolehkan kerajaan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini dengan sasaran 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang diberikan secara percuma.

Menurut Jagdeep, pihak berkuasa berkaitan di negeri ini terus melakukan penguatkuasaan dan pemantauan di semua lokasi bagi memastikan orang ramai tidak leka.

“Sesiapa yang didapati melanggar SOP dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi memastikan keselamatan awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, petanda positif semakin jelas bagi sektor hartanah di negeri ini apabila suku kedua 2020 merekodkan sebanyak 1,545 unit kediaman dijual manakala suku ketiga sebanyak 3,446 unit iaitu peningkatan 123 peratus.

“Tahun 2021 menjanjikan berita optimis seiring dengan pemulihan ekonomi selain pelbagai insentif diberikan oleh kerajaan yang mana majoriti industri berpendapat segmen Rumah Mampu Milik (RMM) menjadi faktor penyumbang kepada pemulihan ini.

“Sebagai bukti, jumlah RMM di bawah kategori tidak terjual hanya sebanyak 58 unit dengan nilai RM10.29 juta (1.5 peratus),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya