IPOH: Polis Perak menyenaraikan 3,000 nama pegawai dan anggota sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama untuk petugas barisan hadapan yang dijadual pada 1 Mac ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, senarai nama tersebut diserahkan kepada Kementerian Kesihatan namun jumlah sebenar penerima awal itu belum diterima pihaknya.
“Di Kontinjen Perak, kita ada seramai 10,924 pegawai dan anggota daripada semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Daripada jumlah itu, 3,000 nama telah disenaraikan sebagai penerima suntikan fasa pertama dan kini sedang menunggu pengesahan penerima daripada Kementerian Kesihatan.
“Dijangka 1 Mac ini suntikan vaksin diberikan kepada semua petugas barisan hadapan di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan ketibaan kenderaan kurier membawa dos vaksin Covid-19 di Plaza Tol Jelapang arah selatan, di sini hari ini.
Difahamkan, kenderaan yang bertolak dari Pusat Penyimpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada pukul 10 pagi itu akan menghantar vaksin tersebut ke tempat simpanan vaksin di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Kenderaan dari lokasi sama juga menghantar vaksin di tiga tempat simpanan vaksin di Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut.
Menurut beliau, pihaknya melakukan kawalan ketat di empat lokasi simpanan vaksin tersebut di bawah kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Taiping, Teluk Intan dan Manjung.
Malah katanya, pada 1 Mac ini, kawalan ketat turut dilakukan oleh pasukan kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari PSV ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Tugas utama pasukan polis adalah untuk memastikan vaksin ini selamat sampai ke PSV dan di pusat itu juga telah diletakkan anggota untuk buat kawalan di sana bagi memastikan vaksin berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Perak dijangka menerima 79,560 dos vaksin Covid-19 fasa pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Sebanyak 49 PPV disediakan di seluruh negeri bagi fasa pertama termasuk di Stadium Indera Mulia di sini. – UTUSAN ONLINE