PKPD di asrama pekerja Imperial Garment di Perak - Utusan Malaysia

PKPD di asrama pekerja Imperial Garment di Perak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah asrama pekerja kilang pakaian antarabangsa, Imperial Garments di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD terbaharu itu meliputi kawasan asrama di Flat Anjung Tawas Damai, Tasek, kira-kira 11 kilometer dari Ipoh.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan 524 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 213 orang dilaporkan positif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kementerian berkenaan mengesahkan ada berlaku peningkatan kes pandemik Covid-19 secara mendadak di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Justeru, katanya, setelah dibuat penilaian risiko bersama-sama dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD sehingga 14 Mac depan.

Kilang tekstil pelbagai jenama terkenal global itu dimiliki oleh syarikat TAL Group berpusat di Hong Kong, China dan beroperasi di kawasan perindustrian Tasek sejak 1987.

“Pelaksanaan PKPD untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni dan mengawal penularan dalam komuniti itu,” kata beliau.

Beliau turut memaklumkan pelanjutan PKPD di Penjara Tapah dan kuarters kakitangan di Daerah Batang Padang, Perak selama 14 hari lagi sehingga 15 Mac ini.

PKPD di lokaliti ini sepatutnya tamat esok namun sehingga kini masih terdapat 505 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan jangkitan masih berlaku di penjara.

Setakat ini, tambah beliau, Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan 875 ujian saringan dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 178 kes positif Covid-19 telah pun direkodkan.

Penjara dengan kapasiti 2,061 banduan yang berasaskan model serupa di Sungai Buloh, Selangor itu terletak di Jalan Tapah dan dirasmikan Almahrhum Sultan Perak pada 2006.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II di Gerik, Perak yang dijadualkan tamat pada 1 Mac ini.

“Kementerian Kesihatan telah selesai membuat sebanyak 582 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif, hanya kira-kira 16 kes yang berjaya direkodkan,” katanya.

Malah jelas beliau, pihak kementerian mengesahkan tiada kes aktif di lokaliti itu dengan keadaan terkawal dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan makmal.

Sekolah tertua di Daerah Gerik berkeluasan 4.2 hektar itu mula dikenakan PKPD sejak 6 Februari lalu sebelum dilanjutkan lagi selama tempoh 10 hari pada 20 Februari lepas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya