Petugas barisan hadapan Pahang terima vaksin Covid-19 hujung bulan ini - Utusan Malaysia

Petugas barisan hadapan Pahang terima vaksin Covid-19 hujung bulan ini

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Petugas barisan hadapan di negeri ini dijadual menerima suntikan vaksin Covid-19 hujung bulan ini.

Keputusan memberi keutamaan kepada kira-kira 28,000 petugas barisan hadapan itu dibuat kerajaan negeri selepas dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, fasa pertama suntikan membabitkan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pasukan petugas khas Covid-19 Negeri.

“Fasa kedua membabitkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi antaranya warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta golongan berpenyakit kronik atau ‘comorbid’, bermula April ini.

“Bagi fasa ketiga yang membabitkan kira-kira 700,000 individu berusia 18 tahun dan ke atas, suntikan vaksin bermula Mei hingga Februari 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata, seluruh rakyat negeri ini berjumlah kira-kira 1.12 juta atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk bakal menerima suntikan vaksin sebagai usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

“Sebanyak 69 pusat suntikan sedang dikaji kesesuaiannya di seluruh negeri, antara lain membabitkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan agensi tertentu. Jumlah pemberi suntikan atau vaksinator ialah 578 orang.

“Sukacita saya sarankan kepada semua pihak supaya memberi kerjasama penuh dengan mendapatkan vaksinasi Covid-19 mengikut tatacara ditetapkan untuk memastikan program vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan berkesan, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya