PUTRAJAYA: Tidak sampai sehari berkurangan, jumlah mereka ditahan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali melonjak.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 680 individu ditahan berbanding kelmarin hanya 575 individu dan 589 individu sehari sebelum itu.
Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 68,385 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,310 pasukan di seluruh negara.
“Daripada jumlah ditahan itu, seramai 610 individu dikenakan kompaun manakala 59 direman dan baki 11 pesalah lagi dijamin,” katanya menerusi kenyataan akhbar di ibu negara hari ini.
Kes tertinggi, ujar beliau, adalah tidak patuh jarak fizikal (146), rentas kawasan tanpa izin (117), aktiviti pusat hiburan (106), tiada pelitup muka (86) dan gagal sedia alat rekod butiran (64).
Juga kesalahan keluar rumah tanpa alasan kukuh (36), membawa penumpang berlebihan dalam kereta (25), operasi premis lebih masa atau tanpa kebenaran (23) dan lain-lain (77).
Beliau juga menambah, 15,175 anggota semalam telah memantau sejumlah 6,014 restoran, 4,335 pasar raya, 4,049 bank, 2,347 penjaja, 1,671 kilang dan 889 buah pejabat kerajaan.
Turut dipantau, tambah Ismail Sabri, ialah sebanyak 1,174 buah terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air dan 97 terminal pengangkutan udara di seluruh negara.
Seramai 21 pendatang asing tanpa izin juga ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan kes Covid-19.
“10 kenderaan darat turut dirampas manakala 528 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 45 bot dekat perairan negara dan sebuah kenderaan darat dicurigai,” katanya.
Ismail Sabri memaklumkan, sejumlah 89 operasi sanitasi awam juga dibuat kerajaan meliputi sebanyak 41 zon merah, dua zon jingga, empat zon kuning seluruh negara semalam.
Ujar beliau, ia melibatkan penugasan seramai 477 anggota bomba, 178 anggota pihak berkuasa tempatan dan 20 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 80 jentera bomba.
Menyentuh kuarantin wajib, seramai 568 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 120,282 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 73 buah hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Seramai 548 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 113,985 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 511 peruncit, 156 pemborong dan 29 pengilang.
Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,734 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan sejumlah tujuh premis diberi nasihat tegas manakala tiga pula dikenakan kompaun.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut membuat pemeriksaan di 69 tapak binaan seluruh negara semalam dengan semua didapati mematuhi SOP dan lima tidak beroperasi. – UTUSAN ONLINE