GEORGETOWN: Bilangan pengunjung yang menghadiri upacara sembahyang di rumah-rumah ibadat di negeri ini pada sambutan perayaan Tahun Baharu Cina hari ini berkurangan sehingga 70 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjuan Utusan Malaysia di Tokong Ular, Bayan Lepas di sini mendapati suasananya hambar dan kurang meriah apabila hanya kira-kira 20 pengunjung dilihat hadir ke situ dalam tempoh sejam.
Malah, majoriti yang hadir juga berseorangan manakala hanya sebilangan kecil hadir secara berpasangan.
Koordinatornya, Cheah Cheng Ean, 72, berkata, kehadiran pengunjung hari ini berkurangan berbanding tahun lalu yang dianggarkan lebih 3,000 orang.
“Sejak tokong dibuka pada pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi tadi, jumlah yang datang tidak sampai 100 orang.
“Berbeza dengan tahun lalu, waktu sebegini sudah ramai yang beratur panjang dan berkumpul di pekarangan luar tokong untuk menunggu giliran masuk.
“Mungkin ramai mengambil keputusan untuk sembahyang di rumah berikutan PKP termasuk ada yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman susulan larangan rentas negeri,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau memberitahu, pihaknya memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum memasuki ke rumah ibadat berkenaan.
“Kami juga mengehadkan jumlah kemasukan pengunjung iaitu seramai 20 orang pada satu sesi dan akan menjalankan proses sanitasi setiap setengah jam sekali.
“Mereka (pengunjung) juga hanya dihadkan kurang 30 minit untuk menjalani upacara sembahyang bagi memberi laluan kepada tetamu lain yang beratur di luar,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, pihaknya yang turun padang bagi memantau pemantuhan SOP perayaan Tahun Baharu Cina di rumah ibadat berkenaan pagi ini mendapati kesemua mereka mematuhi arahan ditetapkan.
“Meskipun jumlah kehadiran pengunjung tidak ramai, pihak berkuasa perlu sentiasa melakukan pemantauan supaya orang ramai sentiasa patuh SOP ditetapkan sekali gus bersama-sama mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE