Pengangguran meningkat: Kelemahan sistem negara tangani isu kemiskinan - Utusan Malaysia

Pengangguran meningkat: Kelemahan sistem negara tangani isu kemiskinan

ANWAR Ibrahim ketika meninjau Program Ujian Antigen RTK-Covid-19 anjuran Pejabat Parlimen Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Peningkatan jumlah individu menganggur menerusi laporan Jabatan Perangkaan dan laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) baru-baru ini jelas menunjukkan kelemahan dalam sistem negara ini bagi menangani isu kemiskinan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kemiskinan sentiasa menjadi slogan banyak pihak, namun, tidak ada kesungguhan dalam kalangan pihak terlibat untuk melaksana dan menguruskannya.

“Laporan UNICEF ini menyambung laporan awal beberapa tahun yang lalu berkenaan kemiskinan bandar, tetapi, malangnya soal miskin ini orang bicara sebagai satu slogan tetapi tidak ada kesungguhan melaksanakan, ini memerlukan tekad politik yang jelas.

“Laporan-laporan ini menunjukkan kelemahan besar sistem kita, tidak tertumpu kepada kerajaan sekarang, kepemimpinan negara, semua parti politik, harus ingat bahawa kadang-kadang retorik kita ini (menyentuh) soal isu-isu demokrasi ataupun kelemahan institusi, tetapi kurang fokus tentang kemiskinan dan juga masalah kesenjangan yang semakin melebar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian ketika meninjau Program Ujian Antigen RTK-Covid-19 anjuran Pejabat Parlimen Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini hari ini.

Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengangguran di negara ini meningkat kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus sehingga Disember tahun lalu.

Unicef pula mendedahkan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk bandar berpendapatan rendah meningkat dua kali ganda di Lembah Klang dari September hingga Disember tahun lalu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, tidak wajar untuk fokus diberikan berkenaan pilihan raya ketika rakyat sedang mengalami kesukaran ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Fokus kita adalah Covid-19, apa yang kerajaan perlu fokus sekarang adalah bagaimana untuk menguruskan pandemik Covid-19 dan kesannya serta bagaimana untuk menguruskan ekonomi negara ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, seramai 300 orang terlibat dalam Program Ujian Antigen RTK-Covid-19 hari ini dengan setiap daripada mereka hanya dikenakan bayaran sebanyak RM30 untuk mengambil ujian awal tersebut.

“Kita kenakan bayaran RM30, tetapi, wang itu kita kumpulkan untuk tabung makanan, namun, bagi yang tidak mampu kita kecualikan. Ini sebenarnya urusan kerajaan tetapi masalah itu kita cuba tampung,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN