ALOR SETAR: Status Langkawi sebagai pulau peranginan popular negara bagai ‘telur di hujung tanduk’ sekiranya larangan rentas daerah dan negeri berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, penutupan hotel di pulau itu tidak dapat dielakkan ekoran larangan daerah dan negeri ketika ini yang masih berterusan.
“Kita berharap kerajaan memandang serius perkara ini dan tidak mengeluarkan kenyataan seperti ‘melepaskan batok di tangga’.
“Memang tiada arahan untuk tutup hotel tetapi pelancong tak ada macam mana kami nak buka hotel? Kami terpaksa tutup sendiri sebab kalau buka siapa nak datang? Daripada terpaksa menampung kerugian menyelenggara hotel tapi orang tak ada, kena tutuplah.
“Menteri berkaitan patut sensitif kerana ia bukan sahaja melibatkan pemilik hotel tetapi pekerja-pekerja yang terpaksa diberhentikan. Kami persatuan sudah berbincang dan andai tiada perubahan, semua ahli akan gulung tikar dan serah kembali lesen pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerajaan tidak pernah mengarahkan penutupan sebarang perkhidmatan hotel termasuk di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng mendedahkan, pandemik Covid-19 mengakibatkan 100 hotel ditutup dan 20,000 staf diberhentikan selain lebih 20 peratus pekerja dipotong gaji dan 26 peratus bercuti tanpa gaji.
Di Langkawi, menurut Zainudin, sebanyak 21 hotel bernaung di bawah persatuan itu terpaksa ditutup sementara dan kira-kira 967 pekerja terpaksa bercuti tanpa gaji sejak PKP.
“Hotel hanya membenarkan 10 peratus stafnya bekerja ketika ini sehingga keadaan menjadi lebih baik. Ia hanya membabitkan staf di bahagian penyelenggaraan,” katanya.
Tambahnya, LTA menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menuntut agar kerajaan memandang serius kemerosotan industri pelancongan di Langkawi ekoran PKP.
“LTA mencadangkan agar kerajaan membenarkan penduduk dari negeri zon hijau melancong ke Langkawi. Kemasukan pelancong dari luar Kedah akan membantu seperti dari negeri-negeri zon hijau,” katanya. – UTUSAN ONLINE